GEORGE TOWN, 14 Mac -- Pembuat songkok tersohor Pulau Pinang, Haja Mohideen Mohd Sharif, 80, bersama menantunya Abdul Kader tekun menyiapkan tempahan songkok di kedai kecil mereka, O.S.M Mohamed Sherif bersebelahan Masjid Nagore Durgha di Lebuh King.Walaupun usia tidak lagi mengizinkan beliau mengendalikan mesin jahit seperti dahulu, warga emas itu tetap sabar menjahit lilitan songkok menggunakan tangan, meneruskan kemahiran yang dipelajarinya sejak 1936. Dengan kudrat yang masih ada, beliau bekerja sehingga 16 jam sehari bagi menyiapkan kira-kira 10 songkok bagi memenuhi permintaan pelanggan, dijual antara RM35 hingga RM80 mengikut saiz dan kualiti.Dari sebuah kedai kecil di Lebuh King berukuran kira-kira 6.7 meter panjang dan 2.4 meter lebar, hasil 'air tangan' beliau pernah dimiliki tokoh kenamaan dan terus menjadi tumpuan umat Islam khususnya menjelang Syawal.Anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata hanya beliau mewarisi kemahiran membuat songkok daripada bapanya selepas memilih meneruskan perniagaan keluarga itu sepenuh masa sebaik menamatkan persekolahan.Kini, demi memastikan warisan itu tidak terhenti, beliau menyerahkan sebahagian besar proses pembuatan kepada menantunya selepas melatihnya sejak sekian lama.-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA *** Local Caption *** PHOTO ESSAY