KUALA TERENGGANU, 14 April -- Polis menahan tiga suspek termasuk dua lelaki dan seorang wanita yang merupakan keluarga angkat kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut semalam, dipercayai akibat didera keluarga angkat. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Payong dekat Marang pada 3.46 petang, yang memaklumkan menerima seorang pesakit kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan beberapa kesan kecederaan di anggota badan. Beliau berkata mangsa yang tinggal bersama keluarga angkat di Kampung Banggol Katong dekat sini disahkan meninggal dunia selepas hasil pemeriksaan mendapati tiada pernafasan, tiada bacaan oksigen, tiada reaksi anak mata dan tiada degupan jantung.Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati mangsa telah tinggal dengan keluarga angkat berkenaan sejak tiga bulan lepas. Ketiga-tiga suspek yang berusia 30 hingga 50 tahun telah direman selama enam hari bermula hari ini hingga Ahad (19 April) untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh dua puluh tahun atau kedua-duanya sekali.-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA