KUALA NERUS, 1 Mac - Petugas memasang pelita berbentuk Jambatan Angkat bagi membolehkan pengunjung mengimbau nostalgia Syawal seperti zaman dahulu pada Program Pelita Raya Terengganu 2026 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, malam tadi. Program edisi keenam anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang akan melabuhkan tirai pada Selasa ini, berjaya menghidupkan kembali suasana kampung yang suatu ketika dahulu bercahaya indah menjelang Syawal, dihiasi pelita yang dipasang hasil semangat gotong-royong penduduk setempat. Bertemakan - Pelita Warisan, Suluh Perpaduan - limpahan cahaya pelita bukan sekadar hiasan semata-mata, sebaliknya menjadi jambatan memori buat generasi terdahulu serta pengalaman baharu kepada generasi muda yang tidak lagi berpeluang menyaksikan tradisi itu dalam kehidupan seharian. Program ini turut mengetengahkan keunikan dekorasi pelita kreatif yang menghiasi setiap ruang, sekali gus menonjolkan sinar warisan budaya yang terus menyinari kehidupan masyarakat majmuk. Tema tersebut membawa makna mendalam apabila - Pelita Warisan - diangkat sebagai simbol cahaya tradisi, kesucian, semangat gotong-royong dan keindahan nilai murni yang diwarisi turun-temurun, manakala - Suluh Perpaduan - mencerminkan semangat kekitaan serta keharmonian sebagai tunjang kesejahteraan masyarakat. Penganjuran kali ini menyaksikan penyertaan lapan pejabat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Besut, Hulu Terengganu, Marang, Setiu dan Kuala Nerus. Turut mengambil bahagian ialah 10 jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Terengganu Inc, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Kumpulan PMINT serta Lembaga Muzium Negeri Terengganu yang menyertai pertandingan pelita. Pelita Raya 2026 dijangka memberi impak positif terhadap promosi pelancongan dan kebudayaan negeri sepanjang Ramadan, selari dengan sokongan kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 serta persediaan ke arah Tahun Melawat Terengganu 2027. Program ini juga berpotensi merancakkan ekonomi setempat dengan memberi limpahan manfaat kepada pengusaha dan penggiat pelancongan termasuk sektor perniagaan dan penginapan. Acara yang berlangsung dari 8.45 malam hingga 11.30 malam itu menyasarkan kehadiran kira-kira 180,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjuran, selain mematuhi sepenuhnya Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 serta Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA