KUANTAN, 25 April -- Kelihatan beberapa peniaga menunggu pelanggan semasa tinjauan fotoBERNAMA di jualan 'car boot sale' di kawasan parkir Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini malam ini. Aktiviti jualan berkonsep jalanan jualan terus dari but yang dianjurkan Kelab Anak Muda Indera Mahkota (KAMI) tersebut menjadi tarikan baru kepada pengunjung di bandar Kuantan. Aktiviti yang dijalankan setiap hari Jumaat bermula 6 petang hingga 2 pagi sejak sebulan lepas ini mendapat penerimaan di luar jangkaan daripada para peniaga terutama yang baru berkecimpung dalam bidang itu. Buktinya lebih seratus peniaga memohon untuk menyertai jualan tersebut dengan kadar sewa yang berpatutan. Menurut Presiden KAMI, Muhammad Faiz Hashim idea konsep perniagaan tersebut tercetus bagi membantu golongan peniaga muda yang tidak mampu membayar sewa tinggi di bandar ini selain kesukaran mendapatkan premis yang strategik. Katanya, program fasa pertama itu bertujuan meningkatkan ekonomi anak muda dan fasa kedua bakal dilaksanakan jika mendapat sambutan. Katanya, konsep tersebut kini menjadi fenomena baru kepada warga Kuantan. --fotoBERNAMA (2014) HAKCIPTA TERPELIHARA