KUANTAN, 27 Jan -- Kawasan parit di Kampung Kempadang terus menjadi tumpuan orang ramai terutama pada waktu petang untuk melihat buaya tembaga semasa tinjauan fotoBERNAMA hari ini. Dipercayai terdapat tiga ekor buaya tembaga yang muncul di situ sejak dua minggu lepas. Reptilia berukuran lebih dua meter itu dipercayai tersesat ke kawasan itu akibat limpahan air Sungai Kuala Baru yang bersambung dengan parit tersebut. Operasi menangkap buaya berkenaan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang dengan menggunakan tali dan umpan kulit ayam sejak hampir seminggu lalu masih tidak berhasil. Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan agar tidak mendekati kawasan berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.--fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA